CARACAS - VENEZUELA. Ribuan penunjuk perasaan diketuai ketua pembangkang Venezuela, Juan Guaido menggesa pasukan tentera 'meninggalkan' Presiden Nicolas Maduro dan menyebelahi perjuangan rakyat.
Protes anti Maduro semalam, diadakan di ibu negara dan beberapa bandar lain, turut mendesak bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Venezuela.
"Jangan tembak rakyat yang membuat tuntutan bagi pihak keluarga anda," mesej Guaido kepada tentera yang disampaikan dari sebuah universiti di Caracas.
Guaido yang juga Ketua Perhimpunan Kebangsaan, memaksa Presiden Maduro melepaskan jawatan bagi membolehkannya membentuk kerajaan peralihan dan mengadakan pilihan raya baharu.
Usaha Ketua pembangkang berusia 35 tahun itu mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS) yang sekian lama mempunyai hubungan buruk dengan Presiden Maduro.
Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden interim pada 23 Januari lalu, turut mendapat sokongan beberapa negara Amerika Latin.
Sementara itu, enam negara Eropah mendesak Maduro segera mengadakan pilihan raya, atau mereka juga akan turut mengiktiraf Guaido sebagai presiden Venezuela.
Jutaan rakyat Venezuela kini dihimpit kemiskinan, sementara hampir 2.3 juta yang lain telah meninggalkan negara itu sejak 2015. - AFP