Suami isteri tinggal dalam kereta

Iklan
J Rajakumari bersama suaminya, P Sivagamiselvan (baju biru) ketika ditemui media.

KAMPAR - Sepasang suami isteri di sini terpaksa tinggal dan tidur di dalam kereta lebih seminggu apabila tidak mempunyai keupayaan mencari kediaman selepas hilang pekerjaan disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19).

J Rajakumari, 45, bersama suaminya, P Sivagamiselvan, 45, sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci di Johor Bharu selama hampir 9 tahun, namun mengambil keputusan pulang ke kampung halaman di Kampar sejak Julai lalu selepas diberhentikan.

Iklan
Iklan

Rajakumari berkata, mereka merancang untuk tinggal rumah pusaka milik mendiang bapanya, namun malangnya rumah berkenaan terlalu uzur dan tidak lagi selamat untuk didiami.

"Kami jadi hilang punca, tak tahu ke mana nak pergi, jadi kami buat keputusan tinggal dalam kereta. Kami letakkan kereta kami jenis Proton Iswara ini di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Kampar supaya kami boleh gunakan bilik air di situ untuk mandi dan membersihkan diri," katanya ketika ditemui media hari ini.

Iklan

Dia yang menghidap penyakit kencing manis kronik hingga terpaksa bergantung kepada bantuan kerusi roda mengakui tidak selesa tinggal dalam kereta,namun tiada pilihan lain kerana tidak mempunyai anak dan saudara mara.

"Nak cari rumah sewa, kami tak mampu apatah lagi duduk di hotel, jadi kami cekalkan hati jalani kehidupan, makan dan tidur dalam kereta saja," katanya.

Iklan

Nasib pasangan suami isteri itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi menerusi program Jiwa Murni yang dijayakan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan MIC Bahagian Kampar.

Nolee Ashilin menemui pasangan J Rajakumari dan P Sivagamiselvan di kediaman mereka yang dalam proses bina semula di Kampar hari ini.

Menerusi program itu, peruntukan lebih RM20,000 disalurkan bagi kerja bina semula rumah pasangan itu secara gotong-royong, lengkap dengan kemudahan dua bilik.

Rajakumari berkata, sementara menunggu kediaman itu siap, mereka ditempatkan di sebuah rumah sewa di taman perumahan berhampiran dengan kos dibiayai MIC sebanyak RM300 sebulan.

"Mujurlah kami hanya seminggu tidur dalam kereta, kemudian Tuhan datangkan orang-orang yang baik kepada kami, tak kira bangsa dan agama mereka bantu untuk pastikan kami punya rumah yang baik untuk didiami.

"Hanya terima kasih yang mampu kami ucapkan, dengan adanya rumah ini, pastinya sambutan Deepavali tahun ini menjadi lebih istimewa," katanya.

Nolee Ashilin dan Azmi ketika meninjau kerja-kerja bina semula rumah pasangan J Rajakumari dan P Sivagamiselvan di Kampar hari ini.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan berkata, pihaknya akan menyegerakan pembinaan rumah itu supaya siap sebelum sambutan Deepavali, bulan hadapan.

"Apabila dimaklumkan keadaan pasangan ini, kita terus lancarkan kutipan dana, kita dapati mereka ini memang terdiri daripada miskin tegar yang memerlukan bantuan baik pulih rumah.

"Dengan dana yang ada, kita bekalkan bahan-bahan binaan dan JBPM pula menyumbang dari segi tenaga kerja untuk menyiapkan rumah ini," katanya.

Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman pula berkata, program itu disertai 32 ketua balai seluruh negeri termasuk ketua-ketua bahagian yang turut menjalankan kerja-kerja mengecat, membancuh simen dan menaikkan dinding.

"Kolabrasi ini menunjukkan tanggungjawab kita sebagai penjawat awam terhadap masyarakat setempat tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.