Wanita cedera kenderaan terbabas masuk gaung

Iklan
Anggota bomba mengeluarkan pemandu wanita yang tersepit selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas dan masuk ke dalam gaung di Felda Kahang Timur Barat, Kluang hari ini.

KLUANG - Seorang wanita terpaksa menahan sakit kira-kira setengah jam akibat tersepit di tempat duduk pemandu selepas terlibat kemalangan di Felda Kahang Timur Barat, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 7.19 pagi, Rosnah Othman, 49, cedera selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandunya terbabas sebelum masuk ke dalam gaung sedalam 20 kaki di pinggir jalan berkenaan.

Iklan
Iklan

Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang dengan dua jentera Fire Rescue Team (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurut Komander Operasinya, Penolong Bomba Kanan II Affendi Mustafar, dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) turut membantu mengeluarkan mangsa yang memandu seorang diri.

Iklan

"Bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada ambulans dari Klinik Kesihatan Kahang Timur.

"Mangsa dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, operasi tamat jam 7.58 pagi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Sementara itu, dalam satu kemalangan berasingan melibatkan sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Jalan Mersing-Kluang dekat sini pada jam 8.02 pagi membabitkan enam mangsa.

Affendi berkata, seramai 11 anggota dari BBP Kluang dengan satu FRT, satu jentera EMRS dan dua unit RIM dihantar ke lokasi kejadian.

Katanya, pemandu lori berkenaan, Kamaruddin Bujang, 49, cedera manakala dua penumpangnya, K Karthik, 26, dan M Arjunan, 40, terselamat.

"Mangsa dalam Toyota Hilux iaitu pemandunya, Islam Nasr Abdalla Ragheb, 30, dan penumpang belakang, Mazen Islam Nasri Abdalla, 1 tahun terselamat manakala penumpang hadapan Nor Aafazarina Nasil, 30, cedera," katanya.

Beliau memberitahu, pihak bomba mengeluarkan Kamaruddin sebelum dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom dengan menggunakan ambulans Klinik Kesihatan Kahang Batu 22 manakala Nor Aafazarina mendapat rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke hospital yang sama.

Katanya, operasi tersebut tamat pada jam 8.35 pagi.