Peniaga kedai makan jadi pembekal, niaga daun ketum

Iklan
Mulkiaman (kanan) menunjukkan sebahagian daun hijau dipercayai ketum yang dirampas di Kampung Chang Deng, Mukim Tekai Kiri, Naka, Kuala Nerang Isnin lalu, ketika sidang media di IPD Padang Terap hari ini

KUALA NERANG - Seorang peniaga kedai makan ditahan bersama 1,500 kilogram (kg) atau 1.5 tan dipercayai daun ketum di sebuah bangsal, belakang rumahnya di Kampung Chang Deng, Mukim Tekai Kiri, Naka, Kuala Nerang pada jam 12.30 tengah malam, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, hasil pemeriksaan rapi menjumpai 150 bungkusan plastik hitam di atas lantai bangsal dengan anggaran satu bungkusan seberat 10kg dan merupakan rampasan terbesar daun ketum di daerah tersebut setakat ini bagi tahun 2020.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tangkapan tersebut dilakukan hasil risikan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Terap melalui maklumat yang diperoleh daripada orang awam melibatkan nilai rampasan RM15,000.

"Hasil daripada siasatan, suspek mendapatkan bekalan daun ketum dari kebun kepunyaannya seluas 2.5 hektar di kawasan sekitar rumahnya. Suspek juga bertindak sebagai peraih dengan membeli daun ketum daripada penanam ketum di sekitar Naka, Kampung Lamdin dan kawasan sekitar yang banyak menanam daun ketum di kebun mereka.

Iklan

"Suspek juga membekalkan daun ketum kepada pembeli dari Kelantan dan Padang Besar, Perlis serta menjual RM9 sekilogram kepada pembeli yang datang ambil sendiri," katanya pada sidang media di IPD Padang Terap hari ini.

Anggota polis membuat pemeriksaan ke atas daun hijau dipercayai daun ketum di sebuah bangsal di Kampung Chang Deng, Mukim Tekai Kiri, Naka, Kuala Nerang Isnin lalu.

Mulkiaman berkata, suspek mengaku tempat perjumpaan dan berurusan dengan pembeli juga berubah-ubah masa dan tempat bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Iklan

"Suspek mengaku membekalkan daun ketum kepada pelanggannya dari Kelantan sejumlah 1.5 tan seminggu dengan dua kali perjalanan dan bergantung kepada permintaan.

"Suspek juga mampu membekalkan bekalan kepada pelanggan dari Padang Besar sebanyak dua tan daun ketum seminggu dengan membuat enam kali perjalanan dalam seminggu," katanya.

Menurutnya, lelaki yang telah berkahwin itu direman selama empat hari bermula 19 Oktober hingga 22 Oktober dan kes rampasan daun ketum tersebut diklasifikasikan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Suspek pernah ditahan dan dihukum melakukan kesalahan sama pada 2015 mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan pada 2012 pula kesalahan mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.