Sistem statistik negara perlu diperkukuh

Iklan
Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR - Sistem statistik negara perlu diperkukuhkan bagi memastikan data yang ada diselaraskan dan dapat digunakan oleh kerajaan dalam merangka dasar atau membuat keputusan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sehubungan itu, Kabinet meluluskan penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara pada 9 September lalu sebagai badan penasihat tertinggi yang berperanan memberi hala tuju sistem statistik negara dan penyelarasan maklumat.

Iklan
Iklan

"Ini bersesuaian dengan keperluan membudayakan pembuatan keputusan berdasarkan fakta,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Sambutan Hari Statistik Negara & Sedunia dan Persidangan Statistik Malaysia 2020 di sini hari ini.

Katanya, data yang ada hari ini berada di merata-rata tempat, manakala metodologi, piawaian, konsep dan definisi kadang-kadang berbeza.

Iklan

"Data pentadbiran bergranul ini menjadi sumber data yang penting bagi kerajaan, justeru dapat mengurangkan kebergantungan kepada data primer yang dikumpul secara banci atau survei.

"Secara tidak langsung penggunaan data sekunder boleh mengurangkan kos dan penjimatan bagi pengumpulan data,” tambahnya.

Iklan

Mustapa berkata, Kabinet turut bersetuju memberikan peranan yang lebih besar kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai agensi pusat dalam penyelarasan sistem statistik negara.

"Selaras dengan itu, pelantikan Ketua Pegawai Data (CDO) DOSM di bawah kementerian, jabatan dan agensi di bawah kawal selia DOSM bagi membangunkan mekanisme yang sistematik untuk koordinasi, capaian dan kerjasama terhadap perkongsian data,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebuah Pusat Analitik Data Raya Negara akan ditubuhkan dengan kerjasama DOSM, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia serta kementerian terlibat bagi memastikan setiap perancangan dan pembuat keputusan berlandaskan analitis data adalah selaras dengan inisiatif kerajaan digital.

"Pengukuhan Sistem Statistik Negara akan memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data yang lebih komprehensif di sektor kerajaan dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara.

"Di samping itu, ia turut bertujuan meningkatkan kepakaran analitikal berkaitan semua bidang ekonomi, sosial dan demografi dalam kalangan pegawai-pegawai di semua kementerian serta agensi,” katanya. - Bernama