KUALA SELANGOR - Kira-kira 5,000 penduduk di Kampung Bukit Kerayong, Jeram di sini dijangka mengalami gangguan bekalan air selama lima hari berikutan pencemaran bau disyaki akibat cecair pelarut sehingga mengakibatkan empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas pagi semalam.
Menerusi aplikasi Air Selangor, penduduk di Kampung Bukit Kerayong dan Kampung Bukit dijangka menerima bekalan air pada Jumaat ini iaitu paling lewat berbanding beberapa kawasan lain di daerah Kuala Selangor.
Seorang penduduk, Muhammad Zaidi Muhammed, 47, berkata, gangguan bekalan air mula berlaku sejak pagi semalam.
"Kami mungkin terpaksa tunggu tiga hari lagi dan keadaan ini amat meresahkan penduduk terutama bagi mereka yang mempunyai keluarga ramai yang amat memerlukan penggunaan air lebih banyak," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, penduduk kampung itu biasanya menerima bekalan air sehari atau dua hari lewat berbanding di kawasan lain.
"Jika berlaku gangguan, biasanya penduduk di kampung ini paling lambat menerima bekalan air hingga merunsingkan kami kerana keperluan asas ini diperlukan untuk urusan seharian," katanya.
Muhammad Zaidi berkata, gangguan bekalan air bukanlah perkara baharu kepada penduduk, sebaliknya masalah sama berlaku hampir 10 kali pada tahun ini.
"Masalah terputus bekalan air berlaku biasanya disebabkan paip pecah atau pun masalah pencemaran tetapi sampai bila masalah ini hendak selesai," katanya.
Menurutnya, penduduk kini berharap bekalan air dihantar melalui lori tangki yang disediakan Air Selangor Sdn Bhd.
"Saya sendiri menyimpan 1,000 liter tong simpanan air di rumah tapi ini hanya mampu bertahan selama dua atau tiga hari," katanya yang menetap bersama isteri dan lima anak di rumah berkenaan.
Seorang suri rumah, Nor Azlinda Kamarzaman, 32, berkata, keperluan air amat mendesak dan terpaksa menunggu giliran bagi mendapatkan air dari lori tangki yang menghantar bekalan di rumah penduduk.
Katanya, penduduk berharap masalah air yang berlaku di negeri ini dapat diselesaikan segera agar tidak berlarutan.
"Ketiadaan air memang menjadi bebanan kepada kami, tambah pula saya ada tiga anak yang kecil berusia setahun hingga empat tahun.
"Memang susah apabila anak hendak mandi, bancuh susu dan sebagainya dan ini amat menyusahkan jika bekalan terputus," katanya.
Peniaga kedai makan, Nurul Huda Ajali, 19, berkata, perniagaannya terjejas sekiranya masalah itu berlarutan hingga Jumaat ini.
Menurutnya, banyak longgokan pinggan dan mangkuk masih tidak dapat dicuci disebabkan masalah tersebut.
"Kami terpaksa menghentikan operasi perniagaan kerana tangki simpanan sudah habis digunakan.
"Masalah ini bukan berlaku sekali atau dua kali, sebaliknya kami terpaksa hadapinya dengan lebih kerap.
"Kerajaan negeri tolonglah ambil tindakan serius terhadap isu pencemaran air termasuk mengambil tindakan tegas terhadap pesalah yang melakukan aktiviti pencemaran sungai," katanya.