Warga emas didakwa lakukan amang seksual terhadap cucu jiran

Iklan
Tertuduh (tengah) yang didakwa atas dua pertuduhan ketika di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

MELAKA - Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu jiran dan melakukan ugutan cedera.

Mohd Halil Sairun, 72, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun lima bulan antara jam 11.30 pagi hingga 2.30 petang di sebuah rumah di Bukit Darat, Tanjong Kling pada 13 Oktober lalu.

Bagi perbuatan itu, Mohd Halil didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Tertuduh juga didakwa telah melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah dengan mengugut secara lisan ke atas nenek saudara mangsa dengan berkata:"Kalau kau cerita pada sesiapa, aku tuba semua keluarga kau."

Tindakan itu didakwa dilakukan tertuduh kira-kira jam 12 tengah hari di lokasi sama pada 7 Oktober lalu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Iklan

Kanak-kanak itu dipercayai dijaga oleh nenek saudaranya yang tinggal berjiran dengan warga emas berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon mahkamah meletakkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Azrul Zulkifli Stork dan Haslinda Abu Bakar yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan bagi kedua-dua pertuduhan dan turut meminta keluarga mangsa agar tidak membenarkan kanak-kanak itu berada berdekatan tertuduh, selain mengambil kira faktor usia anak guamnya.

Mahkamah membuat keputusan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh tidak mendekati mangsa dan sebaliknya dN menetapkan tarikh 18 November depan sebagai sebutan semula kes.

Tertuduh kemudian membayar jaminan tersebut.