Exco Melaka sangkal dakwaan pesakit Covid-19 terlalu ramai

Iklan
Rahmad berpendapat dakwaan disebarkan pihak tidak bertanggungjawab bertujuan menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat Melaka.

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka hari ini menyangkal dakwaan individu menerusi rakaman suara yang tular bahawa jumlah pesakit koronavirus (Covid-19) di negeri itu terlalu ramai dan tidak seperti yang dilaporkan media.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, dakwaan itu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab bertujuan menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat Melaka.

Iklan
Iklan

"Begitu juga dengan penyebaran berita yang mendakwa Melaka akan dikenakan kawalan rentas negeri selama dua minggu bermula tengah malam ini, itu juga berita palsu.

"Selain itu, dakwaan hampir 30 petugas Jabatan Kecemasan Hospital Melaka positif Covid-19 dan wujud kluster membabitkan kakitangan, jururawat serta doktor di hospital itu juga tidak benar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: KM Melaka nafi larangan rentas negeri tengah malam ini

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat di negeri tersebut agar bertenang serta berhenti menyebarkan berita palsu itu, selain mendapatkan maklumat sahih menerusi media sosial rasmi Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Melaka atau menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Melaka di talian 06-2345999.

Iklan

Hari ini tular menerusi aplikasi WhatsApp rakaman suara seorang lelaki mendakwa jumlah individu dikesan positif Covid-19 terlalu ramai, tidak seperti yang dilaporkan media dan perkara itu kononnya dimaklumkan oleh doktor yang bertugas di Hospital Melaka ketika dia hendak membuat ujian calitan.

Lelaki itu juga mendakwa terdapat dua wad di hospital berkenaan telah penuh dengan pesakit Covid-19 dan Kolej Komuniti Alor Gajah akan dibuka bagi menampung peningkatan pesakit tersebut.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, seramai 58 pelajar dan 40 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Bekoh, Jasin di sini menjalani saringan Covid-19 semalam, selain diarah menjalani kuarantin sehingga didapati bebas daripada jangkitan wabak tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: SMK Simpang Bekoh ditutup tujuh hari

Semalam media melaporkan sekolah itu diarah tutup selama tujuh hari bermula semalam hingga 25 Okt bagi membolehkan kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan dilakukan anggota bomba selepas ada ibu bapa pelajar di sekolah berkenaan disahkan positif Covid-19. - Bernama