SINGAPURA - Singapura dijangka memasuki fasa ketiga pembukaan semula negara itu menjelang akhir tahun ini jika kes jangkitan komuniti kekal berada pada paras terendah.
Di bawah fasa terakhir itu, jumlah individu yang dibenarkan untuk berkumpul di luar kediaman akan ditambah daripada lima kepada lapan orang.
Langkah sama juga akan membenarkan lapan tetamu berkunjung ke sesebuah rumah yang membolehkan keluarga besar berkumpul semula.
Selain itu, had kapasiti pengunjung untuk tempat awam seperti muzium, rumah ibadat dan majlis perkahwinan juga akan ditambah kepada 50 orang di beberapa zon bergantung kepada keluasan tempat berkenaan.
Menteri Pendidikan, Lawrence Wong yang merupakan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai koronavirus (Covid-19) hari ini berkata, rakyat Singapura perlu terus berwaspada dan memenuhi beberapa syarat utama sebelum dapat memasuki fasa ketiga.
Jelasnya, antara syarat yang perlu dipatuhi adalah mematuhi langkah pengurusan yang selamat termasuk berkumpul dalam jumlah kecil, mematuhi jarak fizikal dan melaksanakan tanggungjawab sosial.
Selain itu, ujian juga akan dilakukan pada skala lebih besar untuk membolehkan lebih banyak aktiviti dapat dilakukan semula melibatkan skim perintis yang akan menyaksikan individu menjalani ujian saringan sebelum mereka menyertai mana-mana acara dan memperoleh keputusan dalam waktu singkat.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong memaklumkan kesemua langkah tersebut akan dilaksanakan secara progresif bergantung kepada situasi domestik dan global memandangkan ancaman Covid-19 masih tinggi.
Bagaimanapun, aktiviti pada waktu malam yang masih dianggap berisiko tinggi seperti bar, pusat karaoke dan kelab malam akan terus ditutup pada permulaan fasa ketiga tersebut.
Difahamkan, langkah kawalan sempadan juga akan dilonggarkan di samping perjanjian perjalanan bersama negara lain.
Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan memberitahu penduduk perlu bersiap sedia untuk menjalani kehidupan pada fasa ketiga untuk tempoh yang panjang dan berkemungkinan sehingga lebih setahun.
"Ia akan memerlukan cara bekerja dan kehidupan yang baru sehingga dunia berjaya mengawal virus itu sepenuhnya. Fasa ketiga juga tidak akan statik dan membolehkan lebih banyak aktiviti dibuka semula pada peringkat tersebut," ujarnya. - Agensi