FGV jelaskan aset dalam LLA hanya ladang

Iklan
Sebelum tawaran awam permulaan (IPO) pada tahun 2012, Felda mempunyai keuntungan lebih daripada RM1 bilion.

SHAH ALAM - Aset-aset yang terlibat dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) antara FGV Holdings Berhad (FGV) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) merupakan ladang-ladang dan tidak termasuk kilang-kilang kelapa sawit milik FGV.

FGV dalam satu kenyataannya berkata, sekiranya Felda berhasrat mahu membeli kilang-kilang kelapa sawit FGV, ia harus berdasarkan pembeli dan penjual bersedia serta mengikut nilai pasaran semasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia juga memerlukan kelulusan pemegang-pemegang saham yang lain melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

"Felda masih belum menghubungi pihak FGV untuk berunding mengenai LLA. Di bawah syarat perjanjian, penamatan LLA dibenarkan,” kata kenyataan tersebut.

Iklan

FGV berkata, sekiranya Felda mengeluarkan notis mengenai perkara tersebut, FGV akan mengikuti prosedur yang telah dinyatakan dalam LLA tersebut.

Menurutnya, FGV juga mahu memberikan penjelasan berkenaan dengan kenyataan Felda bahawa sebelum tawaran awam permulaan (IPO) pada tahun 2012, Felda mempunyai keuntungan lebih daripada RM1 bilion.

Iklan

Selepas FGV wujud sebagai syarikat senaraian awam, katanya, Felda mengalami kerugian setiap tahun dan jumlah hutang meningkat.

"Ketika LLA ditandatangani pada tahun 2011, harga minyak sawit mentah (CPO) berada pada paras sekitar RM3,000 per tan dan unjuran pendapatan Felda (melalui LLA) menggunakan harga RM2,800 per tan.

"Harga CPO memainkan peranan penting dalam menentukan keuntungan atau kerugian syarikat. Selepas IPO pada tahun 2012, pembayaran kepada Felda daripada FGV tidak menepati unjuran Felda kerana penurunan harga CPO,” katanya.

Tambah FGV, hasil pada tandan buah segar (TBS) lebih rendah daripada yang dijangkakan kerana 50 peratus pokok-pokok yang diwarisi oleh FGV pada tahun 2012 dianggap sebagai pokok tua iaitu lebih daripada 21 tahun.

"Sebanyak 15,000 hektar tanah setiap tahun diperuntukkan untuk penanaman semula yang menyumbang kepada pengurangan pendapatan FGV," katanya.

FGV berkata, pihaknya memilih untuk menanam semula dan menaik taraf ladang-ladang untuk mencapai kelestarian jangka panjang.

Hasilnya, katanya, FGV telah berjaya mengurangkan peratusan pokok tua sekitar 30 peratus.

"Tanah LLA lebih elok dan bertambah baik berbanding dengan apa yang diberikan kepada FGV semasa IPO. IPO FGV sering kali dikatakan punca kegagalan dan kejatuhan Felda.

"Isu sebenarnya ialah penggunaan hasil pendapatan daripada IPO dan bukan IPO itu sendiri. Felda memperoleh RM5.7 bilion daripada IPO ini, manakala FGV memperoleh RM4.5 bilion,” katanya.

Dalam kenyataan sama, FGV menegaskan bahawa mereka tidak dapat mengulas bagaimana Felda menggunakan hasil daripada IPO.

Tambahnya, kenyataan Felda bahawa ia harus menerima RM800 juta setahun daripada LLA adalah tidak benar.

"Dalam perjanjian tersebut dinyatakan bahawa jumlah yang perlu dibayar kepada Felda adalah RM248 juta setahun serta 15 peratus keuntungan operasi daripada tanah LLA.

"Sehingga ke hari ini, tanggungjawab FGV kepada Felda (menurut LLA) berjumlah RM248 juta setahun telah dipenuhi sepenuhnya. FGV telah membayar lebih daripada RM2.5 bilion kepada Felda dari tahun 2012 hingga 2019,” kata kenyataan tersebut.