Perlu buka minda golongan muda

Iklan
Sandrea

IPOH - Minda golongan muda terlibat dalam sektor pertanian perlu direvolusi supaya dapat melihat bidang ini mampu mengangkat martabat mereka menjadi korporat muda.

Adun Teja, Sandrea Ng berkata, sekiranya golongan muda gagal berbuat demikian dan masih berada di takuk lama, negara bakal berhadapan defisit pengeluaran makanan serta kekurangan bekalan makanan kepada rakyat.

Iklan
Iklan

"Generasi muda adalah tenaga penggerak utama industri pertanian negara dan sekiranya minda mereka tidak dibuka negara terpaksa bergantung kepada sumber makanan yang diimport dari luar.

"Saya berpendapat, untuk mengajak dan menanam minat remaja menceburi bidang pertanian, perlulah bermula dari peringkat sekolah dan di pusat-pusat pengajian tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Iklan

Menurutnya, sektor pertanian merupakan nadi terpenting dalam membangunkan ekonomi negara namun persepsi negatif sesetengah individu yang mendakwa sektor pertanian merupakan satu kerjaya yang membosankan dan tidak sesuai diceburi generasi muda berpelajaran perlu di sangkal.

"Sikap masyarakat yang memandang tinggi terhadap kerja-kerja pejabat dan bidang kerja yang lebih profesional telah jauh meninggalkan minat untuk berselimut dengan lumpur dan bermandi peluh.

Iklan

"Peralihan status tersebut menyebabkan bidang pertanian dianggap sebagai aktiviti kuno dan hanya layak diusahakan oleh golongan yang tidak berilmu dan golongan daif yang tinggal di kampung," katanya.

Tambahnya, masyarakat perlu mengelakkan situasi ini daripada terus berlanjutan memandangkan pada hari ini, kebanyakan individu yang melibatkan diri dalam sektor pertanian merupakan golongan muda pertengahan dan kelompok yang telah berusia.