BUTTERWORTH - Gerak geri mencurigakan seorang lelaki akhirnya membongkar kegiatannya yang menyimpan bahan terlarang dalam satu serbuan di Jalan Dahlia, Mak Mandin di sini petang semalam.
Dalam serbuan jam 3 petang yang dilakukan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara berjaya merampas 20 gram dadah jenis heroin dan 3 gram dadah jenis syabu yang disimpan lelaki berkenaan.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dadah yang ditemui daripada lelaki berusia 59 tahun itu dipercayai untuk kegunaan sendiri dianggarkan bernilai RM1,100.
"Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta morphine dan dia kini ditahan reman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut.
"Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Katanya, pihak polis akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan yang berterusan secara agresif ke atas aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.
Kerjasama orang ramai juga diperlukan bagi membantu polis membanteras dadah dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dan penyalahgunaan dadah.