GOMBAK - [DIKEMASKINI] Seorang pelakon wanita bersama seorang rakan ditahan semalam kerana dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila melakukan aktiviti berbasikal dengan merentas negeri.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kedua-dua wanita berkenaan dipercayai melakukan aktiviti berkenaan pada 18 Oktober lalu.
Menurutnya, wanita berkenaan telah mengemas kini status Instagram dengan kapsyen 'Woohoo Genting Sempah with @diyanabanana' beserta gambar swafoto bersama rakan sedang berbasikal.
"Siasatan mendapati pelakon berkenaan meletakkan kenderaan di sebuah restoran berhampiran Hospital Orang Asli Gombak sebelum memulakan kayuhan dari Jalan Gombak Lama ke arah Genting Sempah sekitar jam 8.30 pagi pada 18 Oktober lalu.
"Lebih kurang 10 kilometer berbasikal, mereka telah berpatah balik ke kenderaan dan seterusnya bergerak ke Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Arifai berkata, kedua-dua mereka telah ditahan dan diambil keterangan pada jam 8 malam semalam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
"Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 (Akta 342), Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPB) No8 2020," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP PKPB yang dikuat kuasakan bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.