KUALA TERENGGANU – Lebih enam tan bekalan makanan kering dihantar ke Pulau Perhentian, Besut; Pulau Redang dan Kampung Pasir Raja, Dungun sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh tahun ini.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar berkata, bekalan tersebut mampu menampung keperluan penduduk di tiga lokasi berkenaan yang sering terputus hubungan apabila berlaku banjir.
Menurutnya, barang keperluan seperti beras, gula, biskut, minyak masak, teh dan sardin sebanyak 3.8 tan mula dihantar ke Pulau Redang hari ini menggunakan kapal milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
"Bekalan ke Kampung Pasir Raja, Dungun juga dihantar hari ini manakala penghantaran barang sebanyak 2.2 tan ke Pulau Perhentian, Besut akan dibuat esok,” katanya ketika meninjau proses penghantaran bekalan ke Pulau Redang di jeti APMM, Pulau Kambing hari ini.
Hadir sama, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat; Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Zuhami berkata, JKM mula mengagihkan stok bekalan banjir ke 152 pangkalan hadapan seluruh negeri bermula 12 Oktober dan dijangka berakhir 25 Oktober nanti.
Katanya, stok bekalan tersebut mampu bertahan antara tiga hingga tujuh hari dan pihaknya bersedia menambah bantuan jika tidak mencukupi atau berlaku banjir luar jangka dengan bantuan agensi kerajaan lain.
"Kita mempunyai pembekal utama di setiap daerah yang bersedia hantar dan tambah bekalan pada bila-bila masa sekiranya stok habis. Bagi kawasan terputus hubungan seperti pulau pula, penghantaran akan dibuat melalui udara,” katanya.
Menurut Zuhami, setakat ini sebanyak 568 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dapat menampung 135,045 mangsa banjir di Terengganu sudah dikenal pasti dan ia diuruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) baharu ekoran pandemik koronavirus (Covid-19).
"Kita sedang meneliti keperluan untuk menambah PPS kerana banyak faktor perlu diambil kira sebelum keputusan dibuat terutama dari segi kapasiti penduduk dan keperluan yang ada di pusat berkenaan,” katanya.