Bukan gelang kuarantin, tapi tag kompleks bebas cukai KLIA

Iklan
Gambar yang tular menunjukkan seorang lelaki memakai gelang merah jambu yang sebenarnya adalah tag keluar masuk kompleks bebas cukai KLIA.

KLANG - Seorang lelaki yang menaiki motosikal dengan memakai gelang berwarna 'merah jambu' di sini semalam bukanlah individu yang dikenakan perintah pengawasan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sebaliknya, lelaki terbabit hanyalah memakai gelang yang merupakan tag keluar masuk kompleks bebas cukai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Iklan
Iklan

Menurutnya, semakan ke atas nombor pendaftaran motosikal itu mendapati ia didaftarkan atas nama seorang wanita tempatan berumur 32 tahun yang beralamat di Pelabuhan Klang.

"Sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah mengesan dan menemu bual pemilik motosikal itu.

Iklan

"Wanita itu menyatakan bahawa motosikal itu digunakan oleh abangnya yang bekerja sebagai pemandu lori," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki berusia 35 tahun itu mengaku gambar yang tular itu adalah dirinya dan ia diambil sewaktu dia pulang dari tempat kerja di Seksyen 15, Shah Alam sekitar jam 10 pagi selepas selesai urusan penghantaran barang di kompleks bebas cukai KLIA.

Iklan

"Gelang yang dipakai merupakan tag keluar masuk kompleks bebas cukai KLIA," katanya.

Semalam, tular gambar seorang lelaki yang menaiki motosikal dilihat memakai satu utas gelang tangan berwarna merah jambu di pergelangan tangan kirinya.