Belum bincang isu jemputan sertai Muafakat Nasional dengan Bersatu

Iklan
Andansura (tengah) merasmikan program Wakaf Air yang digagaskan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Kampung Sungai Ular.

KUANTAN - Pas Pahang dan UMNO masih belum mengadakan sebarang perbincangan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang berhubung jemputan menjadi komponen Muafakat Nasional (MN).

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, pihaknya masih menunggu keputusan dan ketetapan di peringkat pusat mengenai perkara tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya difahamkan Bersatu telah dijemput untuk masuk (menyertai) Muafakat Nasional, cuma belum diumumkan secara rasmi. Sepatutnya penyertaan Bersatu dalam mesyuarat baharu-baharu ini tetapi mesyuarat tersebut ditangguhkan.

"Di Pahang setakat ini, belum ada sebarang perbincangan Muafakat Nasional dengan Bersatu tetapi kita memang mengalu-alukan gabungan semua parti yang ingin memperjuangkan agama, bangsa dan negara," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah sebelum itu merasmikan program Wakaf Air yang digagaskan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Kampung Sungai Ular,semalam.

Turut bersama dalam program itu, Pegawai Penerangan Daerah Kuantan, Zayana Zahirah Mohd Isa.

Iklan

Semalam, kepimpinan UMNO dan Pas sepakat untuk mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasmi di Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk memperkukuh perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Mengulas lanjut mengenai kesepakatan itu, Andansura berkata, pendaftaran Muafakat Nasional itu adalah satu keperluan untuk memperkukuh perpaduan dan kerjasama kedua-dua parti komponen dalam Perikatan Nasional.

"Pas dan UMNO juga mahu membuktikan bahawa Muafakat Nasional ini bukan untuk sementara atau tujuan tertentu, tetapi ia satu bentuk kerjasama yang jitu.

"Pendaftaran Muafakat Nasional ini juga sememangnya ditunggu oleh ahli bawahan parti-parti bagi membuktikan kesungguhan dan komitmen kedua-dua pihak untuk kerjasama dengan baik seperti pertahankan Islam, bangsa dan negara," katanya.