GEORGETOWN - Seorang lagi pegawai di Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) menjadikan jumlah keseluruhan kakitangan penjara itu yang dijangkiti berjumlah tiga orang.
Pengarahnya, Zulkifli Abdul Manah berkata, pegawai tersebut merupakan salah seorang daripada 14 kes aktif yang dilaporkan pada Isnin lalu membabitkan kluster Penjara Seberang Perai.
Menurutnya, baki kes aktif baharu itu melibatkan banduan.
"Pegawai tersebut berada dalam keadaan stabil sama seperti dua pegawai lain yang disahkan positif sebelum ini. Ketiga-tiga mereka tidak bergejala dan dilaporkan stabil.
"Pegawai (ketiga) itu disahkan positif ketika ujian saringan dilakukan walaupun dia tidak menunjukkan sebarang gejala," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.
Zulkifli berkata, semua kakitangan telah selesai menjalani ujian saringan dan keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh tiga hari lagi.
"Ujian saringan untuk kontak rapat kepada ketiga-tiga pegawai tersebut dijangka akan dijalankan pada minggu depan, bergantung kepada keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Sehingga semalam, kluster Penjara Seberang Perai mencatatkan 86 kes aktif.
Semalam, kerajaan Pulau Pinang mencadangkan agar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan Penjara Seberang Perai dan kuarters kakitangan penjara itu.
Cadangan kepada kerajaan Pusat itu dibuat susulan peningkatan kes dalam kalangan banduan selain turut melibatkan kakitangan penjara itu.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Zulkifli berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah mengenai pelaksanaan PKPD di penjara tersebut.
"Kita sudah bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan.
"Keutamaan kita adalah memastikan semua pemeriksaan yang diperlukan dijalankan dengan baik. Pihak penjara akan memantau keadaan dari masa ke masa," katanya.
Pulau Pinang kini mempunyai dua kluster Covid-19 utama iaitu Penjara Reman dan Penjara Seberang Perai menjadikan kedua-dua penjara itu sebagai institusi hukuman ketiga dan keempat di negara ini mencatatkan jangkitan Covid-19 selepas Tawau di Sabah dan Alor Star di Kedah.
Kes aktif pertama dilaporkan di Penjara Reman Pulau Pinang berikutan kematian seorang tahanan berusia 85 tahun pada 5 Oktober lalu.
Sejak dari itu, jumlah yang disahkan positif terus meningkat.
Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters penjara tersebut kini diletakkan di bawah PKPD sejak 15 hingga 27 Oktober ini.
Pelaksanaan PKPD di penjara dan kuarters kakitangan tersebut adalah disebabkan kes positif dalam kalangan banduan terus meningkat.
Setakat ini, kluster Penjara Reman mencatatkan 399 kes yang kesemuanya melibatkan banduan.