MB Selangor positif terima kecaman

Iklan
Amirudin Shari

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengakui beliau positif menerima segala kecaman susulan insiden gangguan bekalan air yang beberapa kali melanda negeri itu tahun ini.

Menurut Amirudin, beliau memahami situasi dihadapi sebilangan pihak yang marah dengan insiden gangguan tersebut dan kerajaan negeri harus tenang dalam menangani permasalahan itu.

Iklan
Iklan

"Dari kita tunding jari dan keluarkan teori konspirasi, lebih baik kita tenang dan selesaikan masalah.

"Mereka memang marah tapi kita mahu selesaikan masalah ini secara sistematik dan bukan hanya gimik," katanya sewaktu menjawab soalan pemberita ketika sidang media di Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), hari ini.

Iklan

Amirudin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan berhubung kecaman yang diterima beliau ekoran daripada gangguan bekalan air tidak berjadual tersebut.

Isnin lalu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kira-kira 1.2 juta akaun pengguna di tujuh daerah di negeri ini berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi.

Iklan

Pencemaran tersebut telah menyebabkan penutupan empat loji iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Susulan gangguan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menzahirkan rasa dukacita berikutan rakyat negeri ini perlu bergelut dengan gangguan bekalan air dan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Dalam pada itu, mengulas mengenai titah Sultan Selangor, Amirudin berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih di atas keprihatinan baginda malah usaha turut dipergiatkan sejak 8 September lalu bagi melakukan pemantauan khususnya di kawasan-kawasan hotspot.

"Malah, bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam membantu pemantauan sungai ini, kita juga akan menyediakan tawaran RM20,000 kepada pemberi maklumat.

"Namun, maklumat itu mestilah berguna untuk memastikan mereka yang tidak bertanggungjawab ini dikenakan tindakan," katanya.