Sanusi kekal jawatan Presiden KFA

Iklan
Mohammad Sanusi Md Nor - Foto Bernama

MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor akhirnya bersetuju untuk mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) setelah membuat keputusan untuk menarik semula surat peletakan jawatannya sebagai presiden yang dihantar pada 25 September lalu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah menyedari bahawa Menteri Besar memainkan peranan yang penting dalam sukan bola sepak di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan itu juga dibuat memandangkan arena bola sepak akan menghadapi senario baharu pada musim akan datang apabila berlakunya pemisahan antara persatuan (FA) dan kelab (FC).

"Saya tarik balik surat letak jawatan, ada fungsi Menteri Besar yang sangat besar dalam sukan bola sepak di Kedah ini untuk diberi perhatian serius,” katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, beliau juga menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menganggap FA akan lenyap pada musim depan.

"Masih ada lagi FA dan pihak saya melalui Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) sudah bersetuju untuk membeli 80 peratus saham Darulaman FC, manakala 20 peratus lagi akan dimiliki oleh KFA.

Iklan

"MBI kini sedang berunding dengan beberapa pihak untuk menubuhkan konsortium dan 80 peratus itu akan dikongsi di kalangan konsortium itu,” katanya.

Beliau berkata, pasukan Kedah pada musim depan akan dikenali dengan nama Kedah Darul Aman FC.

"Kita juga akan mengadakan pertandingan mencipta logo yang menawarkan hadiah antaranya wang tunai berjumlah RM5,000 untuk maklumat lanjut boleh rujuk laman Facebook rasmi KFA.

"Saya juga mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada anak-anak Kedah yang kreatif mereka logo yang menggambarkan kehebatan sukan bola sepak Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Firdaus Ahmad berkata, setakat ini MBI Kedah sedang mengadakan perbincangan bersama empat syarikat bagi membeli pegangan saham dimilikinya.

"Sama ada MBI Kedah mahu menjual keseluruhan saham kepada satu syarikat saja atau berkongsi secara sama rata antara syarikat-syarikat itu, semuanya terpulang kepada hasil perbincangan mereka.

"Salah satu syarikat terlibat adalah Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB). Seboleh-bolehnya kita mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin agar kita boleh membuat persiapan musim depan dengan lebih awal," katanya.