Pekerja dari zon merah tidak lagi wajib jalani ujian Covid-19

Iklan
Ismail Sabri bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pekerja dari zon merah yang perlu bekerja di pejabat tidak lagi wajib menjalani ujian Covid-19 selepas arahan itu dilonggarkan kepada amat digalakkan.

Dalam pengumuman petang tadi, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pekerja dari zon merah yang perlu bekerja di pejabat amat disarankan melakukan ujian calitan Covid-19 demi kepentingan dan kesihatan masyarakat.

Iklan
Iklan

"Seperti yang sebutkan semalam, arahan wajib ujian Covid-19 hanya untuk pekerja asing di sektor binaan dan juga pengawal keselamatan. Keduanya pula, bagi mereka yang mempunyai gejala.

"Bagaimanapun bagi mereka yang bekerja di zon merah atau tinggal di zon merah dan pergi bekerja ke zon kuning, kita (kerajaan) bersetuju tidak diwajibkan ujian calitan Covid-19.

Iklan

"Tetapi kita amat menyarankan atau menasihatkan pekerja ini sebolehkan lakukanlah ujian saringan untuk memastikan status mereka bersih supaya tidak membahayakan keluarga dan pihak lain," katanya hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menjelaskan arahan penuh mengenai bekerja dari rumah akan dikeluarkan oleh ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Iklan

"Seperti yang saya jelaskan semalam bahawa ketua pengarah perkhidmatan awam dan Miti akan mengeluarkan kenyataan bagi memperincikan pekerja di sektor awam dan industri yang terlibat dengan arahan yang dikeluarkan ini.

"Jadi saya nampak daripada malam semalam huru-hara seluruh negara. Ramai yang keliru dan sebagainya walaupun saya dah katakan semalam bahawa pengumumannya adalah secara general, secara am, iaitu persetujuan kita untuk mengarahkan kerja dari rumah.

"Banyak sektor-sektor lain yang dikategorikan sebagai informal sektor, seperti sektor peruncitan, makanan, perladangan, pertanian, penjaja, restoran, gerai makan, medan selera, kedai runcit, kedai serbaneka dan lain-lain dibenarkan bekerja seperti biasa mengikut SOP yang ditetapkan.

"Jadi, kedai-kedai lain tu boleh bekerja seperti biasa. Yang melibatkan perkhidmatan perlu bekerja," katanya.