KOTA BHARU - Konflik politik negara yang dihadapi kini tidak berada dalam situasi kritikal dan pertelagahan antara pimpinan dapat diselesaikan dengan baik jika kena dengan caranya.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihak yang terlibat dalam kemelut tersebut adalah individu cerdik pandai dan semestinya mempunyai pengalaman selok-belok menghadapi ‘kucah’ dalam politik.
Menurutnya, begitu juga dengan krisis antara UMNO dan Bersatu, ia diyakini mampu diselesaikan dengan kaedah terbaik untuk semua pihak.
"Kalau suasana politik tidak baik, langkah terbaik adalah membubarkan Parlimen dan kita beri peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan. Cuma sekarang ini kita dalam suasana koronavirus (Covid-19). Ini kita kena fikir.
"Saya rasa ini boleh selesai sebab saya rasa semua cerdik belaka, lama dah pengalaman dan (kalau) melihat dengan elok, mengambil kira kepentingan lebih luas, bukan melihat kepentingan kelompok dan parti tertentu tetapi kepentingan negara dan rakyat, mungkin kita boleh selesai isu ini.
"Bagi saya tidak terlalu kritikal meskipun ada isu macam Bersatu dengan UMNO, dengan (usul) undi tidak percaya, tetapi saya rasa benda ini boleh selesai, Insya ALLAH,” katanya kepada pemberita lepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas konsisten dengan pendirian terdahulu yang mana terus menyokong kepimpinan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mengukuhkan Muafakat Nasional (MN).
"Pendirian kita (Pas) jelas, menyokong Kerajaan Perikatan Nasional. Itu tidak berubah. Kita mengukuhkan Muafakat Nasional dengan Pas dan UMNO. Bersatu juga menyatakan persetujuan untuk bersama Muafakat Nasional tapi bukan secara rasmi lagi,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata, beliau tidak mengetahui penyebab sebenar yang menyebabkan berlakunya masalah antara UMNO dan Bersatu.
"Walaupun pelbagai andaian dibuat, hanya mereka tahu perkara sebenar. Apapun isunya, bagi saya yang penting duduk sekali dan berbincang.
"Itu paling penting, kalau tidak duduk semeja, masing-masing keluar kenyataan ia tidak boleh selesai kerana akan menambah masalah lagi,” kata beliau lagi.