KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Seberang Prai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Prai di Pulau Pinang, berkuat kuasa esok hingga 4 November ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu dilaksanakan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengawal penularan koronavirus (Covid-19) di penjara dan kuarters berkenaan.
Iklan
Iklan
"PKPD ini membolehkan pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut dapat dikawal dan memudahkan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 terhadap individu-individu bersasar di penjara terbabit,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang disiarkan di Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.
Menurut Ismail Sabri, tahanan yang akan dibebaskan dalam tempoh PKPD akan diasing dan dikuarantin di Institut Latihan Kecemerlangan Mara, Seberang Perai Selatan hingga tamat tempoh kuarantin.
Katanya, jumlah keseluruhan individu yang terlibat dalam PKPD itu ialah 3,262 orang, merangkumi 2,110 banduan, staf penjara yang mendiami kuarters (1,000), staf penjara yang tidak mendiami kuarters (120) dan kakitangan awam (32). - Bernama
Artikel Berkaitan