PARIS - Sentimen anti-Muslim kembali meningkat di Perancis susulan insiden seorang guru dipenggal kerana tindakan provokasi mangsa yang menghina Islam dengan menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW pada minggu lalu.
Kelmarin, pihak berkuasa mengumumkan ia akan menutup sebuah masjid di pinggir Paris kononnya sebagai usaha untuk memerangi gerakan radikal selepas pihak berkuasa menahan kira-kira 15 individu di bawah operasi menyasarkan anggota rangkaian ekstremis di ibu negara.
Kementerian Dalam Negeri menyatakan Masjid Besar de Pantin itu yang boleh menampung kira-kira 1,500 jemaah akan ditutup selama enam bulan berkuat kuasa malam ini (waktu tempatan).
Difahamkan, tindakan melulu itu dibuat selepas masjid terbabit didakwa berkongsi video dimuat naik oleh seorang lelaki yang turut ditahan dalam operasi terbabit.
Ketua masjid itu, M’hammed Henniche menjelaskan tujuan perkongsian itu kerana beliau bimbang kanak-kanak Muslim akan menjadi sasaran sentimen anti-Islam di kelas mereka.
Pada awal bulan lalu, Presiden Emmanuel Macron diselar banyak pihak gara-gara mengeluarkan kenyataan Islam ‘sedang dalam krisis’ ketika mengumumkan draf undang-undang yang akan meningkatkan sekularisme di Perancis yang mempunyai populasi Muslim terbesar di Eropah Barat.
Menurut draf undang-undang itu, mana-mana gerakan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melanggar peraturan dan nilai negara itu akan ditutup atau berdepan audit kewangan yang ketat.
Muslim di negara itu bagaimanapun khuatir undang-undang tersebut dan ucapan Macron akan mencetuskan jenayah kebencian atau Islamofobia ke atas mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Imam Besar Pusat Islam al-Azhar di Mesir, Sheikh Ahmed el-Tayeb mengecam individu yang mengaitkan keganasan dengan Islam yang turut merujuk kepada kenyataan Macron.
El-Tayeb menerusi Twitter menegaskan perbuatan mengaitkan keganasan dengan Islam adalah tanda kejahilan dan beliau turut menjelaskan agama Islam sememangnya menentang kegiatan jenayah.
"Saya menekankan tindakan menghina agama dan menyerang simbol suci mereka di bawah hak kebebasan bersuara adalah undangan terbuka untuk kebencian,” tegasnya. - Agensi