SHAH ALAM - Pembabitan tiga orang penganggur dalam kegiatan pengedaran dadah terbongkar apabila mereka diberkas polis di hadapan sebuah restoran di Jalan Meru di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, operasi membabitkan sepasukan anggota JSJN Selangor kira-kira jam 2.45 petang.
Menurutnya, dalam operasi itu, tiga lelaki berusia 20 hingga 28 tahun itu ditahan dengan rampasan dadah bernilai RM30,000.
"Pemeriksaan dalam kenderaan Toyota Lexus dinaiki seorang suspek menemui 100 peket plastik hitam bergambar tengkorak disyaki mengandungi serbuk ekstasi seberat kira-kira 3.2 kilogram dianggarkan bernilai RM30,000.
"Kita turut merampas barang kemas iaitu tiga bentuk cincin dan seutas rantai leher,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Abdul Latiff berkata, ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati positif dadah.
Katanya, polis percaya seorang daripada suspek terbabit aktif dengan kegiatan berkenaan sejak setahun lalu.
"Siasatan mendapati suspek masing-masing berperanan sebagai pemungut duit, runner dan pembekal dengan mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki yang dihubungi menerusi aplikasi WeChat.
"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek lain. Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.