PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menganggap tindakan Rakyat United yang dikatakan berhasrat menyertai Liga Malaysia (Liga-M) tanpa persiapan serta perancangan rapi akan mengundang bahaya kepada mereka.
Sathianathan berkata, Rakyat United tidak mampu memberikan cabaran dalam saingan Liga-M sekiranya menggunakan khidmat pemain amatur selain tidak mempunyai pengalaman dalam kancah bola sepak negara.
"Saya tidak nampak keupayaan pasukan tersebut jika mereka memberi peluang kepada pemain yang tidak pernah bermain dalam kancah profesional. Kalau mereka tetap bersaing menggunakan pemain amatur, itu malapetaka bagi mereka.
"Apabila dapat pemain yang dibayar gaji dengan murah dan mungkin tak ada pengalaman, mereka akan gagal bersaing sehingga berada dalam kelompok pasukan tercorot.
"Sudah semestinya mereka tidak mahu perkara itu berlaku dalam tahun pertama pada saingan Liga-M. Malah, mana ada pengurusan yang mahukan pasukan mereka tercorot dan asyik kalah.
"Semua ini kena buat perancangan yang lebih rapi. Jangan main cakap saja dan mereka perlu tanya orang yang dah lama terlibat dalam bola sepak untuk mendapatkan pandangan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Begitupun, Sathianathan tidak membantah penampilan Rakyat United dalam saingan Liga-M jika mereka beraksi atas tiket Felda United yang sebelum ini dilaporkan mahu menarik diri.
"Saya fikir jika Felda United sudah tidak berminat, maka bagi kepada orang lain seperti pasukan Rakyat United ini. Kenapa kita nak buang peluang dan platform yang telah ada. Jadi langkah tersebut wajar diteruskan.
"Tetapi sekali lagi saya ingatkan kepada pasukan itu (Rakyat United), mereka perlu ada perancangan yang rapi dalam banyak perkara seperti pemain, pengurusan dan sebagainya,” jelas jurulatih berpengalaman negara itu.
Terdahulu, arena bola sepak negara dikejutkan dengan kemunculan sebuah pasukan baharu dikenali sebagai Rakyat United yang didakwa diuruskan oleh pengurusan lama Felda United.
Rakyat United kini giat mencari pemain untuk beraksi bersama pasukan utama yang dilaporkan bakal menyertai saingan Liga-M dengan menawarkan gaji bermula RM3,000 hingga RM5,000.