Tindakan gencatan politik pengorbanan kedua UMNO

Iklan
MUHYIDDIN, AHMAD ZAHID

SHAH ALAM - UMNO telah melakukan pengorbanan untuk kali yang kedua bagi menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi kepentingan rakyat dan negara.

Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, pengorbanan yang pertama dilakukan oleh parti tersebut ialah ketika pembentukan kerajaan PN.

OTHMAN

Iklan
Iklan

"Kami menyokong penuh pendirian yang diambil kerana ia bukan sahaja tepat, malah amat wajar dalam suasana pada hari ini. Ini sudah tentu demi kepentingan negara dan rakyat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa parti itu melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan.

Iklan

Pendirian itu dibuat bagi memastikan kegelisahan rakyat akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

UMNO juga mengarahkan semua kepimpinan parti yang berada dalam Kabinet ketika ini memberikan sepenuh penumpuan kepada usaha untuk membantu rakyat meringankan beban yang ditanggung mereka akibat kesan ekonomi dan Covid-19.

Iklan

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan bahawa semua ahli politik disaran supaya melakukan gencatan politik sebagai usaha memikirkan penyelesaian terbaik bagi mensejahterakan rakyat.

Dalam pada itu, Othman berkata, tindakan itu juga amat bertepatan dengan falsafah perjuangan UMNO selama ini untuk menjaga kepentingan dan menyelesaikan masalah rakyat serta menjadikan negara selamat dan sejahtera.

"Inilah nilai perjuangan ABATA (agama, bangsa dan tanah air) yang mana UMNO benar-benar merealisasikan perjuangan dan menterjemahkan perjuangan melalui tindakan yang tepat serta bijaksana.

"Walaupun ada macam-macam tuduhan terhadap parti keramat ini tetapi sebenarnya UMNO telah membuktikan bahawa parti ini tidak seperti yang ditohmahkan selama ini," tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak termasuk parti-parti lain untuk terus bergerak dalam satu pasukan dan menghormati kerjasama yang diberikan.

"Lihat perkara ini sebagai satu aspek positif sehinggalah kita menuju ke pilihan raya umum yang akan datang. Buat masa ini hentikan seketika berpolitik sebaliknya masa ini digunakan untuk tingkat ekonomi dan selesai masalah yang timbul," katanya.

Othman juga membidas parti-parti politik pembangkang dan menasihatkan supaya berhenti daripada menyerang UMNO dengan pelbagai tuduhan jahat.

"Mereka tuduh UMNO gila kuasa, lemah dan jahat. Mereka perlu hentikan perbuatan ini kerana ia memperlihatkan bahawa mereka memang ada agenda tertentu yang tidak baik untuk negara," katanya.