SHAH ALAM - Semua peniaga dan penjaja di Lembah Klang perlu mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan ketika ini.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia, Datuk Seri Dr Rosli Sulaiman berkata, SOP perlu sentiasa dipatuhi supaya Covid-19 tidak merebak di kawasan perniagaan mereka.
Pada masa yang sama katanya, peniaga juga tidak perlu bimbang dengan arahan terbaru kerajaan supaya pekerja sektor awam dan swasta bahagian pengurusan serta pengawasan dalam zon merah diarah bekerja dari rumah berkuat kuasa hari ini.
"Mereka hanya perlu menjalankan perniagaan seperti biasa. Saya dapati ada dalam kalangan peniaga yang saya temui melahirkan kebimbangan berikutan pengumuman bekerja dari rumah akan menjejaskan perniagaan mereka.
"Saya berharap mereka tidak menutup operasi perniagaan mereka,” katanya semalam.
Rosli berkata, kebanyakan peniaga juga bimbang pelaksanaan PKPB akan memberi kesan kepada perniagaan mereka seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
"Mereka masih terkesan dengan PKP dan baru hendak menarik nafas lega kerana boleh menjalankan perniagaan dan mengumpul semula modal walaupun belum mencatat keuntungan,” katanya.
Justeru, Rosli menggesa kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan melanjutkan tempoh pembayaran pinjaman moratorium selama tiga bulan untuk membantu peniaga di negara ini.
Sementara itu, Setiausaha Biro Niaga Muda Persatuan Penjaja Peniaga Kecil Melayu Gabungan Malaysia (Gabungan Malaysia), Qairy Maheran turut menyeru kepada semua peniaga mematuhi SOP ditetapkan.
"Saya berharap agar semua peniaga bertegas dalam menjaga SOP berbanding menjaga ekonomi masing-masing. Jangan lupa sediakan hand sanitizer dan Kod QR MySejahtera di premis masing-masing. Pastikan semua pelanggan memakai pelitup muka dan menjaga penjarakkan fizikal,” katanya.
Beliau turut mencadangkan orang ramai membuat pembelian menerusi dalam talian atau mengambil tempahan makanan secara bungkus dan bawa balik ke rumah.