SEREMBAN - Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua terpaksa menahan sakit beberapa jam selepas sebentuk cincin perak yang baru dibeli dalam talian tersekat di jari manis.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan Mohd Syazwan Saidy berkata, berdasarkan maklumat ibu mangsa, kejadian dipercayai berlaku pada petang semalam apabila pelajar itu mahu mencuba tiga bentuk cincin yang dibelinya.
Iklan
Iklan
"Bagaimana pun, sebaik mencuba cincin yang kedua ia tidak boleh ditanggalkan sehingga menyebabkan jari mula membengkak dan memerlukan bantuan khidmat khas bomba malam tadi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pelajar itu datang bersama ibunya ke balai bomba untuk mendapatkan khidmat khas memotong cincin pada jam 10 malam tadi.
"Anggota Bomba bersama Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Seremban mengambil masa 30 minit memotong cincin tersebut serta membuat pra rawatan awal sebelum menamatkan operasi pada jam 10.30 malam," katanya.