SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan menganjurkan Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2020 secara dalam talian menerusi kaedah penstriman langsung (live streaming) bermula 12 hingga 23 November depan.
LHDNM dalam satu kenyataan hari ini berkata, penganjuran seminar itu adalah bertujuan untuk memberikan para peserta maklumat terkini dan pemahaman yang lebih jelas berkaitan sebarang pindaan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 serta akta-akta berkaitan yang dibentangkan melalui Belanjawan 2021.
Iklan
Iklan
Menurutnya, sebanyak enam sesi seminar akan diadakan bermula pada 12, 16, 17, 18, 19 dan 23 November.
"Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian mulai kelmarin melalui portal https://spk.hasil.gov.my/ dengan yuran penyertaan sebanyak RM180 seorang.
"Seminar akan dijalankan menggunakan aplikasi ZOOM dan akan membariskan para penceramah berpengalaman yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan LHDNM bagi mengupas topik '2021 Budget Proposals'," katanya.
Kenyataan sama menyebut, semua pengamal cukai, perunding cukai, ejen cukai, akauntan, juru audit, perancang kewangan, peguam bela dan peguam cara, pengarah syarikat, setiausaha syarikat, pensyarah, ahli akademik dan individu-individu yang berminat sangat dialu-alukan untuk menghadiri seminar tersebut.
Sebarang pertanyaan berkenaan SPK 2020 boleh diajukan kepada Sekretariat SPK 2020 melalui e-mel spkhasil@hasil.gov.my.