MANJUNG - Walaupun pernah diserbu beberapa kali, pengusaha dua premis yang menjalankan aktiviti perjudian loteri awam di daerah ini tidak pernah serik meneruskan perniagaan haram itu.
Dua premis berkenaan masing-masing di Seri Manjung dan Taman Mas Kampung Koh, Sitiawan diserbu sekali lagi dalam operasi bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dalam pemeriksaan bermula jam 3.30 petang itu, bekalan elektrik di kedua-dua premis telah dipotong.
Menurutnya, siasatan mendapati premis pertama adalah sebuah kedai telekomunikasi dan pernah diserbu polis sebanyak 10 kali sebelum ini.
"Premis kedua pula merupakan sebuah kedai runcit yang mana premis itu telah dikenakan tindakan oleh polis sebanyak lima kali atas kesalahan sama.
"Pemotongan elektrik dilakukan di dua premis itu dikenal pasti menjalankan perjudian loteri awam tanpa lesen di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.
Beliau berkata, sejak Januari lalu, sebanyak 10 premis di seluruh daerah Manjung telah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik.
Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dan premis yang menjalankan aktiviti perjudian haram.
"Pemotongan bekalan elektrik ke atas premis perjudian haram akan dilaksanakan secara komprehensif dan berterusan dalam membanteras kegiatan ini," katanya.
Pihaknya turut mengingatkan semua pemilik premis yang masih terus berdegil menjalankan kegiatan perjudian haram agar menghentikannya dengan segera kerana tindakan berterusan akan diambil bagi memastikan daerah itu bersih daripada aktiviti tidak bermoral berkenaan.
"Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat tentang aktiviti perjudian seperti itu amat dihargai dan diharapkan akan berterusan pada masa-masa akan datang," katanya.