SEPANG - Pengalaman membawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Kuantan, Pahang ke ibu negara menjadi detik terindah sepanjang 29 tahun kerjaya Kapten Sumar Lee Hashim Lee sebagai juruterbang.
Beliau berkata penerbangan yang mengambil masa selama kira-kira 35 minit itu berjalan lancar dengan keadaan cuaca yang baik dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada menara kawalan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kuantan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Kapten Sumar Lee, 49, yang berkhidmat dengan Jabatan Penerbangan Awam, Subang ditemui Bernama selepas istiadat ketibaan Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar di Kompleks Bunga Raya, KLIA hari ini.
Pesawat khas Airbus A319CJ yang diterbangkan Kapten Sumar Lee bersama rakan setugasnya Kapten Ahmad Najhan Mohd Jamil, 55, tiba di KLIA kira-kira 9.10 pagi.
"Ini bukan kali pertama saya menerbangkan VVIP, malah saya baru pulang daripada membawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tugas rasmi di Senegal dan Vienna.
"Namun penerbangan hari ini amat luar biasa dan membuatkan saya rasa amat teruja kerana diberi peluang menerbangkan Seri Paduka. Kebetulan ini adalah penerbangan pertama baginda setelah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16,” katanya di sini hari ini.
Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat ke ibu negara hari ini bagi secara rasminya menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong selepas Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara.
Berasal dari Selama, Perak, Sumar Lee berkata beliau menerima surat rasmi mengenai tugas untuk membawa Yang di-Pertuan Agong dua hari lepas namun waktu yang singkat bukan masalah baginya kerana beliau sudah dilatih untuk berada dalam keadaan bersedia tiga jam sebelum penerbangan.
Ditanya mengenai persediaan yang dilakukan sebelum penerbangan, beliau yang segak berkaca mata hitam berkata pihak Polis Diraja Malaysia terlebih dahulu membuat pemeriksaan keselamatan pesawat dan anak-anak kapal diberi rehat secukupnya sebelum memulakan penerbangan.
Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Jan lalu. - Bernama