Industri sawit disaran terokai pasaran baharu

Iklan
FGV disaran meneroka pasaran baharu dengan memfokuskan eksport sawit ke negara berpotensi. Gambar kecil: Khairuddin

PUTRAJAYA - Pihak industri sawit termasuk FGV Holding Berhad (FGV) disaran meneroka pasaran baharu dengan memfokuskan eksport sawit ke negara berpotensi.

Ia susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) yang melarang pengimportan minyak sawit dari negara ini yang didakwa menggunakan buruh paksa di ladang komoditi itu.

Iklan
Iklan

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, antara negara yang dilihat sebagai potensi besar adalah di Benua Afrika dan Asia Tengah.

"Tidak dinafikan, AS merupakan pasaran penting bagi produk agrikomoditi Malaysia dan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, jumlah eksport agrikomoditi ke negara berkenaan bernilai RM14.10 bilion.

"Walau bagaimanapun dengan insiden yang semakin kerap berlaku, kementerian bersedia untuk mempertimbang tindakan yang sewajarnya bagi menangani isu tersebut," katanya.

Iklan

Beliau berkata, kementerian memandang serius insiden yang melibatkan penahanan eksport produk agrikomoditi Malaysia oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS kebelakangan ini.

"KPPK berpandangan perlunya satu platform yang lebih adil bagi Malaysia dan AS berunding bagi menangani dakwaan serta tuduhan yang boleh menjejaskan aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara," katanya.

Dalam kenyataan itu, Khairuddin berkata, pihaknya telah menerima kunjungan Ketua Pegawai Komunikasi Strategik Kumpulan FGV, Datuk Najmuddin Abdullah.

"Kementerian dimaklumkan FGV telah menunjukkan komitmen yang tinggi serta mengambil langkah perlu dalam usaha membatalkan Perintah Pelepasan Tahanan (WRO) sejak petisyen dikemukakan.

"FGV juga telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memperbaiki sistem pengambilan buruh asing serta menetapkan piawaian pekerja yang bersesuaian dalam memastikan kebajikan pekerja terpelihara selaras dengan hak asasi manusia," katanya.

Tambahnya, pada tahun 2018, KPPK dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selaku perunding teknikal kajian telah melaksanakan kajian menyeluruh situasi buruh dalam sektor perladangan sawit Malaysia.

Ia dijalankan bagi memastikan hasil kajian yang lebih komprehensif.

"Kajian ini akan dikemukakan kepada Jabatan Buruh (DOL) AS sebagai salah satu inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada senarai Trafficking Victims Protection Reauthorization Act (TVPRA) yang menjadi rujukan kepada CBP AS dalam membuat keputusan.

"Langkah ini diharap dapat mengelakkan sekatan ke atas produk agrikomoditi negara pada masa hadapan," katanya.

Pada 30 September lalu, AS melarang pengimportan produk minyak sawit Malaysia selepas siasatan selama setahun mendapati para pekerja merupakan subjek kepada keganasan seksual dan fizikal dan intimidasi.

Negara itu turut menuduh gaji pekerja di ladang sawit ditahan manakala terdapat kebimbangan syarikat berkenaan menggunakan buruh kanak-kanak.

Dalam reaksi balasnya, FVG menyatakan kekecewaan dengan langkah tersebut yang berlaku ketika ia mengambil langkah konkrit sejak beberapa tahun lalu untuk memperbaiki standard operasinya.