Bekas lombong pasir dicemari sampah haram

Iklan
Tapak bekas lombong pasir yang pernah menjadi tumpuan kaki pancing kini menjadi lubuk sampah haram. Gambar kecil: Sapiah

JASIN - Tapak bekas lombong pasir di Batu Gajah, Sungai Rambai, di sini yang dahulunya indah dan menjadi tumpuan kaki pancing kini bertukar wajah selepas dijadikan 'lubuk' sampah haram sejak setahun lalu.

Tanah persendirian seluas 2.20 hektar dan terletak berhampiran ladang kelapa sawit dan tanah merah itu tercemar sehingga mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan menyebabkan penduduk di Kampung Batu Gajah Barat turut terjejas.

Iklan
Iklan

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Datin Sapiah Haron berkata, siasatan awal mendapati kebanyakan bahan buangan klinikal, bahan binaan, sisa daripada kilang, sisa sampah domestik serta kedai dan sebagainya dibuang di kawasan berkenaan sehinggakan sebahagian kolam lombong itu telah ditutup dengan sampah sarap yang didakwa dibuang individu tidak bertanggungjawab menggunakan kenderaan berat seperti lori.

Menurutnya, MPJ dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sedang mengenal pasti individu yang terlibat melakukan perbuatan itu, sama ada kontraktor yang berdaftar ataupun sebaliknya dan yakin kebanyakan sisa bahan buangan itu adalah dari kawasan berhampiran daerah ini.

Iklan

Katanya, pihaknya juga kesal dengan sikap pemilik tanah yang didakwa tidak bertanggungjawab ke atas tanah mereka sehinggakan memberi impak negatif kepada penduduk setempat selain mencemarkan alam.

Pelbagai jenis sisa sampah yang dibuang di kawasan berkenaan sejak setahun lalu.

Katanya, MPJ boleh mengambil tindakan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 174 (Akta 133) ke atas pemilik tanah berkenaan.

Iklan

"Untuk tindakan awal kita akan meletakkan garisan kuning dan anggota penguat kuasa bagi memantau kawasan ini selain Badan Kawal Selia Air (BKSA) juga akan buat siasatan dan mengambil sampel air mengikut Seksyen 39 (a) Enkmen Sumber Air tahun 2012.

"Pada masa sama, SWCorp akan mengeluarkan notis kepada tuan tanah bagi melakukan kerja-kerja pembersihan dalam tempoh 14 hari," katanya ketika ditemui di tapak sampah haram Batu Gajah, di Sungai Rambai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata, penduduk sewajarnya melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai aktiviti seumpama ini agar tindakan pantas dapat diambil sebelum keadaan bertambah parah.

Sapiah (kanan) melihat sisa klinikal yang dibuang di kawasan tapak bekas lombong pasir di Batu Gajah, Sungai Rambai hari ini.

Sementara itu, Pengarah SWCorp negeri, Kharul Adha Ab Mutalib ketika dihubungi berkata, berdasarkan maklumat awal, pemilik tanah memaklumkan mereka mahu menambak bekas lombong terbabit untuk tujuan tertentu dan tidak memberitahu mengenai kerja-kerja penambakan tersebut kepada PBT, Pejabat Daerah dan Tanah dan SWCorp.

Menurutnya, pemeriksaan awal yang dilakukan pihaknya mendapati kerja penambakan menggunakan pelbagai campuran sisa sampah sarap itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) kerana melonggokkan sisa pepejal di kawasan yang tidak dibenarkan di bawah akta ini.

Katanya, SWCorp akan memastikan kerja penambakan tanah itu juga tiada elemen sisa pepejal terkawal selain meneruskan siasatan sama ada pemilik tanah membenarkan mana-mana pihak melonggokkan sisa pepejal di kawasan mereka ataupun ia diakses terus oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kita juga mengeluarkan satu notis kepada tuan tanah untuk mengalihkan sisa pepejal tersebut dan dihantar ke tapak pelupusan yang berdaftar di Pusat Pelupusan Sampah Sanitari Sungai Udang.

"Mana-mana pihak yg melakukan kesalahan di bawah Seksyen 71 Akta 672 dan jika didapati bersalah, boleh didenda minimum RM10,000 atau maksimum RM100,000 atau penjara minimum lima bulan atau penjara maksima lima tahun atau kedua-duanya," katanya.