DUNGUN - Dua beranak maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dipercayai kerana cuba mengelak ular sawa melintas di kilometer 61, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Felda Jerangau di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.09 pagi itu, mangsa Mohamed Jenal, 61, dan anak perempuannya, Mardiah Mohamed, 26, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di anggota badan.
Difahamkan, dua beranak yang menaiki kereta jenis Proton Gen2 itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Felda Jerangau Barat menuju ke bandar Dungun di sini.
Setibanya di lokasi, kereta dipandu Mohamed dikatakan cuba mengelak seekor ular sawa yang melintas dan terbabas ke laluan sebelah kanan jalan sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Penolong Penguasa Bomba, Zul Husni Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.10 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota.
Menurutnya, setibanya di lokasi, didapati terdapat dua mangsa yang tersepit di dalam kereta dan segera melakukan kerja mengeluarkan mereka.
"Ketika itu, kedua-dua beranak itu dipercayai sudah meninggal dunia dan kami mengambil masa selama 15 minit untuk mengeluarkan mereka.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk urusan selanjutnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ).