NIBONG TEBAL - Polis meningkatkan pengawasan di Kompleks Penjara Seberang Perai serta kuarters kakitangan penjara di Jawi di sini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan terbabit bermula tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Lee Chong Chern berkata, semua kakitangan penjara serta ahli keluarga yang tinggal di dalam kuarters itu hanya dibenarkan keluar bagi urusan penting dan kecemasan sahaja dengan kebenaran polis.
Semalam Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai di Pulau Pinang bermula hari ini sehingga 4 November.
Penjara itu menempatkan 2,110 banduan manakala 1,000 petugas penjara dan keluarga mereka tinggal di kuarters.
Sementara itu di Penjara Reman Pulau Pinang, pengarahnya Mohamed Jusoh Ismail berkata, lebih 200 banduan yang dijangkiti Covid-19 kini ditempatkan di zon hijau.
Mohamed Jusoh berkata, keadaan mereka didapati stabil manakala banduan lain dilaporkan tidak menunjukkan sebarang gejala setakat ini.
"Setakat ini, tiada perkembangan baharu. Banduan lain pula tidak menunjukkan gejala...cuma kalau ada keperluan mendesak sekalipun, pihak ambulans akan datang ke penjara dan ambil mereka (banduan) untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sejak 5 Oktober lepas, Kluster Penjara Reman merekodkan 399 kes yang kesemuanya membabitkan banduan dengan seorang daripadanya meninggal dunia, dan ketika ini PKPD sedang dikuatkuasakan di Penjara Reman Pulau Pinang serta kawasan kuarters sehingga 27 Oktober. - Bernama