Ahmad Zahid ulangi drama politik 1998: Kadir Jasin

Iklan
Ahmad Zahid dan Anwar

SHAH ALAM - Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi plot drama politik 22 tahun lalu apabila membuat pusingan U dalam memberi sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu berkata, ketika krisis politik 1998, Ahmad Zahid berikrar menyokong Anwar yang ketika itu disingkirkan daripada UMNO.

Iklan
Iklan

"Tetapi apabila ‘ditemuduga’ oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang intipatinya pilihan antara sumpah setia dengan harta dan kuasa, Ahmad Zahid memilih yang kedua.

"Dilajukan ke hadapan, ke zaman kerajaan tebuk atap Perikatan Nasional (meminjam pakai jenama yang difatwakan oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang), Ahmad Zahid sekali lagi mengikrarkan sokongan kepada Anwar.

Iklan

"Sekali lagi Anwar percaya dan dengan penuh keyakinan memberitahu sidang akhbar bahawa dia mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Tambah beliau, difahamkan Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bukan sekadar mengikrarkan sokongan kepada Anwar, malah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara tersebut.

Iklan

Katanya, Anwar, Ahmad Zahid dan Mohd Najib lupa bahawa meskipun kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Dewan Rakyat lemah dan semakin tidak popular dengan rakyat jelata, tetapi Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu masih Perdana Menteri.

"Dengan kedudukan itu, dia (Muhyiddin) masih mempunyai kuasa eksekutif sebagai benteng pertahanan.

"Ikut cerita, Muhyiddin dan konco-konconya telah memberi ingatan kepada Ahmad Zahid tentang kuasa eksekutif yang ada di tangan mereka.

"Maka, sekali lagi, seperti pada tahun 1998, Ahmad Zahid membuat pusingan U atas alasan mahu membantu mengatasi wabak Covid-19 dan masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara dan rakyat jelata,” ujarnya.

Kata Kadir, gencatan politik yang dipopularkan Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda) yang sebelum ini dipersenda, kini menjadi alasan Ahmad Zahid untuk menyelamatkan diri.

"Apakah langkah Anwar seterusnya? itulah soalan cepumas yang kita nanti-nantikan jawapannya,” soal Kadir.