PELUMBA British, Jake Dixon akan kekal bersama dengan Petronas Sprinta Racing bagi meningkatkan saingan hebat pasukan itu dalam kategori Moto2 pada Kejuaraan Motosikal Dunia musim depan.
Pengarah Petronas Sprinta Racing, Johan Stigefelt dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya gembira untuk mengekalkan khidmat pelumba berumur 24 tahun berkenaan yang menampilkan kemajuan yang baik dari semasa ke semasa sejak menyertai pasukan berkenaan awal musim ini.
Dixon akan menyertai penunggang Sepanyol, Xavi Vierge yang menetapkan untuk bersama dengan pasukan berpangkalan di Malaysia itu bagi satu lagi musim baru-baru ini.
"Kemajuan Jake sejak perlumbaan pertama tahun ini sehingga sekarang amat memberangsangkan, malah melewati jangkaan,” kata Stigefelt.
Sementara itu, Dixon juga gembira untuk terus bersama dengan pasukan itu dan bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam empat perlumbaan terakhir MotoGP musim ini.
Empat perlumbaan itu adalah GP Teruel di Litar Aragon, Sepanyol pada 23-25 Oktober, GP Eropah (6-8 November) dan GP Valencia (13-15 November) di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol serta GP Portugal di Litar Antarabangsa Algarve (20-22 November).
"Kami mencapai banyak kejayaan selama ini, dan saya rasa saya dapat memberikan persembahan mantap untuk memberikan persembahan terbaik. Saya amat gembira dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dalam pasukan Petronas Sprinta Racing dan semua yang menaruh keyakinan terhadap saya,” kata Dixon.
Baru-baru ini, penunggang kelahiran Dover itu mencapai keputusan terbaik musim ini selepas menamatkan perlumbaan pada GP Aragon di Litar Aragon di tempat keempat dan dia juga menduduki tempat kelapan dalam perlumbaan GP Styrian di Litar Red Bull Ring di Austria, Ogos lepas.
Vierge ketika ini berada di tempat ke-12 keseluruhan dengan merekodkan 59 mata manakala Dixon di tempat ke-17 apabila mengumpul 35 mata selepas 11 perlumbaan. - Bernama
-- BERNAMA