Omosuyi dedah rahsia jadi penjaring terbanyak

Iklan
IFEDAYO

Penyerang Selangor, Ifedayo Omosuyi mengakui semangatnya membara untuk mengejar gelaran status Penjaring Terbanyak CIMB Liga Super selepas menyaksikan pemain Terengganu FC (TFC) Dominique Da Sylva meledak empat gol dalam satu perlawanan.

Mengimbas kembali detik itu, Omosuyi mengakui terkejut aksi ditampilkan pesaingnya itu ketika perlawanan kedua liga berlangsung pada Mac lalu antara TFC dan Kedah yang mana Da Sylva menjaringkan empat gol sekali gus menghadiahkan kemenangan buat skuad Penyu.

Iklan
Iklan

Katanya, jaringan empat gol dalam satu perlawanan adalah aksi mengagumkan ketika dirinya sekadar menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan pada awal musim sebelum saingan Liga Malaysia tertangguh susulan pandemik Covid-19.

Justeru, penyerang dari Nigeria ini mengakui tercabar dan bersemangat untuk mengejar kedudukan carta penjaring terbanyak ketika itu sehingga akhirnya berjaya mencipta kejutan dalam tiga perlawanan terakhir liga dengan tujuh gol, menjadikan jumlah keseluruhannya 12 gol bagi meraih Kasut Emas musim ini.

Iklan

"Apabila musim 2020 bermula, ada seorang pemain ini (Da Sylva) menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan, dan saya pada masa itu macam terkejut kerana ia satu aksi yang mengagumkan untuk raih empat gol dalam satu masa, dan saya pula hanya satu gol dalam setiap satu perlawanan.

"Jadi, bila saya tengok aksi pemain itu, saya katakan kepada diri sendiri bahawa saya juga mampu untuk melakukan seperti itu untuk terus mengejar jaringan gol dalam setiap perlawanan.

Iklan

"Daripada situ, saya tekad ingin terus bantu pasukan dengan jaringan gol saya di mana konsistensi dalam setiap perlawanan adalah sangat penting dan saya terus bekerja keras sebaik sahaja Liga Malaysia kembali bersambung.

"Namun, saya percaya semua ini tidak akan berhasil tanpa sokongan daripada rakan sepasukan yang membantu sehingga saya berjaya meledak gol.

"Nama-nama seperti Brendan Gan, Sandro da Silva, Safuwan Baharudin, Syazwan Zainon, Rufino Segovia dan pemain-pemain lain yang menjadikan saya bernasib baik mampu melakukan penyudah berkesan di hadapan gol, dan secara keseluruhan, terima kasih saya ucapkan kepada semua pemain yang ada,” jelasnya.

Menjelang saingan TM Piala Malaysia, penyerang berusia 29 tahun ini mengakui mahu atau tidak, semua pemain harus bekerja keras untuk mempersiapkan diri di sebalik cabaran yang ada khususnya dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Format Piala Malaysia musim ini kita tahu tiada ruang untuk kita melakukan kesilapan, kerana tiada pusingan peringkat kumpulan, jadi memang kita kena berusaha lebih keras untuk melakukan persediaan sebaiknya,” katanya.