Senarai Kabinet baharu permainan politik pihak tertentu

Iklan
Antara senarai nama yang tular turut mengaitkan Noh sebagai salah seorang menteri.

SHAH ALAM - Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menafikan senarai barisan Kabinet baharu yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut Noh, senarai yang membariskan nama-nama menteri baharu itu adalah tidak benar dan hanyalah mainan politik pihak tertentu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dengan keadaan negara berdepan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini, rombakan Kabinet amat tidak bersesuaian untuk dilaksanakan.

"Tambahan pula, menteri-menteri yang bertugas sekarang pun baru beberapa bulan berkhidmat dan lebih baik kita utamakan tangani Covid-19 dulu.

Iklan

"Kalau hal berkenaan senarai Kabinet tular ini, saya sudah lali sebab pernah berlaku beberapa kali sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, tular senarai barisan Kabinet baharu kerajaan di media sosial yang turut mengaitkan Noh sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Iklan

Difahamkan, barisan Kabinet juga akan mengadakan mesyuarat khas Jemaah Menteri di Pejabat Perdana Menteri pada jam 9.30 pagi esok.

Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan, Noh berkata, berdasarkan pengalaman beliau, setiap menteri tidak pernah dimaklumkan langsung sekiranya terdapat rombakan Kabinet.

"Ia (rombakan) adalah kuasa autonomi dan kebijaksanaan Perdana Menteri.

"Saya sendiri beberapa kali pernah tukar portfolio menteri sebelum ini dan tidak pernah sekali pun kami dimaklumkan terlebih dahulu jika berlaku rombakan Kabinet," katanya.

Menurutnya, keutamaan yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan buat masa ini adalah bagi menangani Covid-19 dan melaksanakan penyambungan moratorium buat rakyat yang terkesan.