KOTA KINABALU - Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan sokongannya terhadap saranan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar gencatan politik dilakukan bagi memberi tumpuan usaha kerajaan menangani penularan pandemik koronavirus (Covid-19) serta pemulihan ekonomi negara.
Beliau berkata, semua pihak perlu bekerjasama dengan kerajaan bagi memberikan fokus terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat dengan menggandakan usaha bagi membendung Covid-19 daripada terus menular terutama di Sabah yang angkanya semakin membimbangkan.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pemulihan ekonomi perlu diberi perhatian khusus dan ia memerlukan kerjasama seluruh rakyat dengan cara menghentikan perbalahan politik (gencatan politik) dan bersama-sama menyokong usaha kerajaan berhadapan cabaran itu.
"Kita masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan kerajaan berusaha sedaya-upaya untuk menjamin kesihatan rakyat dengan menangani wabak itu sebaik mungkin.
"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, ramai rakyat terkesan dan ekonomi negara turut terjejas teruk, namun kini sudah ada tanda-tanda pemulihan.
"Bagaimanapun, gelombang kedua penularan wabak ini membawa kesan negatif kepada kesihatan dan ekonomi rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid kelmarin, dalam kenyataan media meminta perbalahan politik perlu dihentikan, sebaliknya perlu membantu usaha kerajaan menangani penularan pandemik Covid-19 serta membantu memulihkan ekonomi negara yang semakin menghimpit kehidupan rakyat ekoran penularan wabak tersebut.
Sehubungan itu, Bung Moktar yakin dua cabaran itu dapat diatasi apabila rakyat memberi sokongan padu kepada kerajaan untuk menumpukan seluruh jentera untuk memulihkan ekonomi dan mengekang pandemik Covid-19.
"Tiada gunanya kerajaan diberikan kuasa oleh rakyat namun kehidupan rakyat terbiar dan terabai tanpa tumpuan pengurusan yang sistematik untuk membantu rakyat.
"Kerajaan Pusat dan negeri perlu bekerjasama memberikan keutamaan kepada perkara asas iaitu menyelamatkan dan melindungi nyawa rakyat dengan apa cara sekali pun," katanya.
Tambah Bung Moktar, dengan kuasa yang ada pada kerajaan sebaiknya digunakan sepenuhnya untuk membantu rakyat terlibat dengan menghulur bantuan kepada mereka yang terjejas dan tidak berkemampuan.
"Di peringkat kepimpinan UMNO Sabah, saya meminta kepimpinan bahagian turun padang memantau dan menghulurkan sumbangan walaupun dalam jumlah yang kecil bagi membantu golongan yang benar-benar memerlukan bantuan," katanya.