PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet pagi ini.
Kenderaan yang dilihat membawa Muhyiddin memasuki bangunan Perdana Putra pada am 8.57 pagi tadi diikuti menteri lain iaitu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Selepas itu Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memasuki bangunan itu bagi menghadiri mesyuarat.
Pada jam 9.11 pagi, kenderaan dipercayai dinaiki Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memasuki Perdana Putra, diikuti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin.
Selepas beberapa minit kemudian, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin turut tiba.
Ia disusuli empat lagi menteri penuh iaitu Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zulkifli Mohamad; Menteri Air dan Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Menteri Perladangan Perusahaan dan Komuniti, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Ia diakhiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Sejak semalam, timbul spekulasi satu mesyuarat khas diadakan dipercayai berhubung dengan rombakan Kabinet, namun sehingga kini tiada maklumat lanjut mengenai mesyuarat berkenaan.