Taman Negara Pahang dibuka semula hari ini

Iklan
Tangkap layar mengenai notis pembukaan semula kawasan ekopelancongan hari ini.

KUANTAN - Taman Negara Pahang Kuala Tahan, Jerantut dan Sungai Relau, Lipis dibuka semula kepada pengunjung bermula hari ini.

Pembukaan semula pusat pelancongan itu diumumkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melalui notis yang dimuat naik di Facebok rasminya semalam.

Iklan
Iklan

Melalui notis tersebut, pengunjung diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Para pelawat juga harus mengamalkan dan membiasakan diri dengan normal baharu bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19)," katanya.

Iklan

Taman Negara Pahang antara fasiliti awam di bawah Jabatan Perhilitan ditutup sementara bermula 6 Oktober lalu sebagai langkah mencegah penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Tindakan itu bagaimanapun menimbulkan rungutan pelbagai pihak khususnya pengusaha-pengusaha aktiviti ekopelancongan di sana yang mendakwa mereka kehilangan punca pendapatan ekoran penutupan itu.

Iklan

Justeru, semalam, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melalui kenyataannya meminta kerajaan Pusat khususnya Jabatan Perhilitan membuka semula operasi Taman Negara di kedua-dua laluan masuk di Kuala Tahan, Jerantut dan Merapoh, Lipis.

Menurutnya, langkah penutupan destinasi pelancongan itu baru-baru ini ekoran penularan semula pandemik Covid-19 dilihat tidak perlu kerana Taman Negara sepertimana daerah Jerantut dan Lipis serta negeri Pahang keseluruhannya, tidak berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, kerajaan negeri menerima rungutan daripada pengusaha-pengusaha aktiviti ekopelancongan di situ mendakwa mereka kehilangan punca pendapatan ekoran penutupan itu.

Antara yang terjejas 170 pemandu pelancong, 78 pengusaha bot di Sungai Tahan, 30 pengusaha bot di Sungai Tembeling, 17 agensi pelancongan dan 38 pengusaha penginapan.

Ia tidak termasuk pengusaha sokongan lain seperti pengusaha penyajian makanan, pembekal dan peruncit yang bergantung harap kepada bidang ekopelancongan sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Perkara itu turut mendapat perhatian Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin.