WASHINGTON - Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat pada Khamis meluluskan Remdesivir keluaran Gilead Sciences untuk merawat mereka yang dijangkiti koronavirus (Covid-19), lapor Anadolu Agency.
Ubat itu, rawatan pertama untuk Covid-19 yang mendapat persetujuan FDA, digunakan Presiden Donald Trump selepas dijangkiti Covid-19 awal bulan ini dan sering disebut Trump ketika bertemu masyarakat dan berkempen.
FDA pada Mei memberi Remdesivir kebenaran sebagai penggunaan kecemasan untuk rawatan Covid-19, dan kemudian diletakkan dalam senarai keutamaan untuk kelulusan penuh.
Gilead berkata, sebaik sahaja Remdesivir diberi kelulusan penuh, ubat tersebut"menjadi tulang belakang kombinasi terapi antivirus" yang dikaji Institut Kesihatan Nasional.
"Di luar percubaan kombinasi, kami terus mengkaji Veklury (Remdesivir) pada populasi tertentu, termasuk pesakit pediatrik, dan juga untuk pesakit luar, dan kami menjangkakan dapat berkongsi data mengenai percubaan ini pada separuh pertama tahun depan," kata Dr Merdad Parsey, Ketua Pegawai Perubatan syarikat itu dalam satu kenyataan.
Ubat ini akan digunakan untuk pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di hospital dan diberikan secara suntikan.
Sementara Remdesivir diluluskan untuk pesakit berusia 12 tahun ke atas, Gilead mengatakan FDA telah mengeluarkan kebenaran penggunaan kecemasan sementara bagi merawat individu lebih muda dengan berat lebih 7.7 paun (3.5 kg).
Perkembangan itu dibuat ketika Moderna mengumumkan pada Khamis sebelumnya ia telah mendaftarkan 30,000 individu dalam percubaan vaksin Covid-19 fasa tiga, memenuhi metriknya untuk pendaftaran penuh dengan lebih satu pertiga peserta adalah kumpulan minoriti.
Kira-kira satu daripada lima yang terlibat adalah etnik Sepanyol dan Latin, dan kira-kira 10 peratus adalah kulit hitam.
"Melengkapkan pendaftaran kajian Fasa 3 Cove adalah tonggak penting bagi perkembangan klinikal mRNA-1273, vaksin percubaan kami terhadap Covid-19," kata Stephane Bancel, Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, dalam satu kenyataan. - Bernama