PEKAN - Segelintir peniaga sekitar daerah ini dikesan masih berdegil dengan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, seramai empat peniaga termasuk seorang pengusaha bengkel dikompaun RM1,000 selepas didapati gagal menyediakan alat penyukat suhu, tiada buku rekod pelanggan dan pekerja serta gagal menyediakan cecair sanitasi tangan di premis masing-masing.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pelanggaran SOP dalam kalangan peniaga restoran, kedai runcit dan bengkel itu dikesan pasukan pemantau sewaktu Operasi Pemantauan Ops Covid-19, semalam dan tindakan kompaun terhadap peniaga berusia 19 hingga 44 tahun itu telah diambil di bawah Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020.
"Sepanjang pemantauan itu, kita dapati masih ada pemilik premis gagal menyediakan buku rekod pelanggan dan pekerja, tidak menyediakan alat penyukat suhu dan sebagainya.
"Justeru, tindakan terpaksa diambil terhadap mereka yang terlibat kerana gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dalam aspek pematuhan SOP ini," katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Sementara itu katanya, sepanjang tempoh 18 Mac hingga semalam, sebanyak 76 kompaun dikeluarkan terhadap mereka yang gagal mematuhi SOP ditetapkan di daerah itu.
Mohd Razli berkata, pemantauan akan diteruskan bagi memastikan semua pihak sama ada peniaga atau pelanggan mematuhi SOP ditetapkan bagi memutuskan rantaian pandemik koronavirus (Covid-19).