BUTTERWORTH - Seorang peniaga barangan kecantikan dalam talian mengalami kerugian sebanyak RM62,340 akibat ditipu berhubung permainan dalam talian (online game) sejak 16 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 42 tahun itu tertarik dengan tawaran diberikan iaitu mendapat pulangan keuntungan berlipat kali ganda hanya dalam tempoh singkat.
Menurutnya, mangsa tertarik untuk bermain permainan secara dalam talian itu, namun berasa tertipu selepas dipaksa membuat penambahan wang jika ingin meneruskan permainan tersebut.
"Mangsa yang berasal dari Sungai Dua dikatakan telah melayari aplikasi Rela dan berkenalan dengan seorang wanita. Wanita itu menganjurkan permainan dalam talian serta menjanjikan pulangan keuntungan dalam tempoh singkat.
"Mangsa telah berkomunikasi dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan bertindak memujuk mangsa untuk menambah wang permainan secara berperingkat agar keuntungan yang bakal diterima bertambah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, mangsa diumpan dengan keuntungan awal berjumlah RM6,820 menyebabkannya menuruti semua arahan suspek.
"Tanpa berfikir panjang, mangsa membuat 10 transaksi ke tujuh akaun bank yang diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM62,340.
"Bagaimanapun, mangsa akhirnya berasa ditipu setelah gagal menghubungi suspek selepas memindahkan wang seperti diarahkan suspek. Mangsa membuat laporan polis untuk siasatan lanjut," katanya.
Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.