LUAS atasi dua insiden pencemaran, berjaya elak henti tugas LPA

Iklan
LUAS giat menjalankan pemantauan menerusi Ops Statik yang dilakukan secara 24 jam.

SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan tindakan pantas bagi menangani dua insiden pencemaran pada sumber air yang berlaku, semalam.

Tindakan segera itu sekali gus berjaya mengelakkan berlakunya gangguan air tidak berjadual dan henti tugas di Loji Pembersihan Air (LPA) di negeri ini.

Iklan
Iklan

Exco Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, menerusi insiden pertama, pencemaran bau sehingga 10 ton dikesan di Sungai Kundang pada jam 10.45 pagi sewaktu pemantauan menerusi Ops Statik secara 24 jam dilakukan di Sungai Gong, Rawang.

"Siasatan awal LUAS mendapati pencemaran bau yang dikesan itu adalah daripada bahan biodiesel dengan mencatatkan keputusan melebihi 10 ton pada aliran yang dilaporkan di lokasi disyaki sekitar kawasan Industri Kundang Jaya.

Iklan

"Siasatan lanjut bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ke sebuah premis yang disyaki mendapati bau yang sama sehingga 10 ton dikesan di pelepasan akhir premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Loy Sian berkata, LUAS telah mengeluarkan Surat Arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis terbabit dan langkah nyah bau turut dilakukan dengan meletakkan 12 beg 'activated carbon' untuk mengawal pencemaran di Sungai Kundang.

Iklan

Mengulas mengenai insiden kedua, Loy Sian berkata, satu insiden tumpahan minyak diesel ke dalam Tasik Putrajaya telah berlaku sekitar jam 9.35 pagi semalam disebabkan kebocoran 'skid tank' paip pada saluran bawah tanah di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

"Siasatan mendapati minyak diesel telah mengalir ke longkang IKN dan disalirkan ke Tasik Putrajaya.

"Pihak Perbadanan Putrajaya (PPJ) telah mengarahkan IKN untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan segera bagi mengelakkan kejadian menjadi lebih teruk," katanya.

Dalam pada itu, Loy Sian memaklumkan beberapa langkah mitigasi telah dijalankan oleh IKN merangkumi pembaikan paip sambungan, meletakkan 'oil pad' dan 'oil boom' serta menyedut minyak yang telah bercampur.

Katanya, insiden itu turut berpotensi menyebabkan pencemaran Sungai Langat dan juga mengakibatkan henti tugas LPA Bukit Tampoi yang terletak kira-kira 10 kilometer dari tasik berkenaan.

"Kedua-dua insiden semalam berjaya ditangani segera oleh LUAS, Air Selangor, PPJ bersama agensi-agensi terlibat dan tiada henti tugas LPA serta gangguan bekalan air kepada pengguna dilaporkan berlaku," katanya.