BALING - Seorang warga emas melecur di bahagian badannya dalam satu kebakaran rumah di Jalan Ulu Bakai, Malau dekat sini kira-kira jam 11.20 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa, Mat Daud Shariff, 85, yang belum berkahwin tinggal seorang diri di rumah tersebut dan punca kebakaran masih belum diketahui.
Menurutnya, jentera Bomba dari Baling tiba di lokasi pada jam 12 tengah malam dan api dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira 15 minit kemudian.
"Punca kebakaran tidak diketahui dan masih dalam siasatan pihak bomba. Mangsa didapati melecur di bahagian badan dan telah dibawa dengan ambulans ke Hospital Kulim dalam keadaan sedar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, anggaran kemusnahan bagi rumah satu tingkat kelas C tersebut sebanyak 95 peratus.
"Keadaan mangsa dan peratusan melecur yang dialaminya tidak dapat dipastikan," katanya
Mohamadul Ehsan berkata, dua jentera bomba digunakan untuk memadam kebakaran dan turut dibantu dua buah jentera Bomba Sukarelawan dari Kuala Ketil dan Kuala Pegang.