KUALA TERENGGANU – Sebanyak 11.50 tan buangan elektrik dan elektronik atau e-waste berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Pengumpulan Buangan Elektrikal dan Elektronik Negeri Terengganu 2020 sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Ramli Abd Rahman berkata, barangan itu hasil kutipan di 12 pusat pengumpulan seluruh negeri yang menyertai kempen tersebut selama sebulan bermula 23 September dan berakhir esok.
"Tujuan kempen ini diadakan untuk memberi kesedaran masyarakat dalam pengurusan pembuangan sisa elektrik dan elektronik bagi memastikan tapak pelupusan sampah di seluruh negara boleh dipanjangkan jangka hayatnya,” katanya.
Kempen tersebut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Perbandaran Dungun, Majlis Perbandaran Kemaman, institusi pengajian tinggi awam dan beberapa syarikat swasta yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan.
Menurut Ramli, buangan elektrikal dan elektronik tersenarai sebagai Buangan Terjadual di bawah kod SW110, Jadual Pertama, Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Beliau berkata, e-waste yang mengandungi logam-logam berat jika tidak diurus dengan baik berpotensi mencemarkan alam sekitar terutamanya air permukaan dan air tanah sekiranya ia dibuang ke tapak pelupusan sampah awam.
"Jika barangan ini dibakar, ia akan menghasilkan bahan pencemar udara yang merbahaya kepada kesihatan dan atas faktor itu, sistem pengumpulan e-waste yang sistematik dari industri telah diwujudkan.
"Di Malaysia, terdapat beberapa syarikat yang mengumpul dan mengasingkan peralatan elektrik dan elektronik terpakai dan tamat tempoh untuk mendapatkan kembali bahan yang berfaedah seperti emas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam usaha memastikan buangan elektrik dan elektronik diuruskan dengan baik.
"Pihak industri, pengguna, kontraktor dan pengutip e-waste dan pengitar semula perlulah bertanggungjawab dalam menguruskan e-waste ini agar ia mampu menjadi salah satu penyumbang kepada pembangunan lestari dan kemajuan alam sekitar negara,” katanya.