AMPANG - Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki melarikan tabung derma di sebuah kedai dobi di Taman Melawati di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, dua suspek itu masuk ke dalam premis dan terus melarikan tabung derma yang diletakkan di bahagian kaunter premis berkenaan pada jam 8.35 pagi.
Iklan
Iklan
"Suspek disyaki melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Jenis Perodua Myvi," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohamad Farouk bagaimanapun menafikan dakwaan kejadian samun itu melibatkan kejar-mengejar antara suspek dan polis seperti yang ditularkan di media sosial.
"Kes melibatkan kerugian kecil kerana tabung derma yang dilarikan suspek mengandungi wang syiling. Sehingga kini tiada pihak yang tampil membuat laporan polis bersabit kejadian itu," katanya.
Menurutnya, pihak polis akan meningkatkan rondaan di kawasan tempat kejadian.
"Kita menyeru orang ramai tampil membuat laporan sekiranya menjadi mangsa jenayah supaya polis dapat menjalankan siasatan," katanya.