KUALA LUMPUR - Keputusan bagi menghentikan sementara operasi dan aktiviti di Taman Persekutuan Bukit Kiara sejak 14 Oktober lalu dibuat berdasarkan arahan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini.
Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara (JLN), Rotina Mohd Daik berkata, selain itu, langkah berkenaan juga diambil berikutan lokasi itu berada sekitar zon merah yang merekodkan beberapa kes koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, JLN juga tidak mahu mengambil sebarang risiko dan perlu mengikut ketetapan oleh MKN bagi menghentikan sementara operasi di taman itu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir.
"Kawasan taman itu pernah ada beberapa kes positif Covid-19. MKN juga secara jelas menyatakan taman rekreasi perlu ditutup sepanjang PKPB ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan mengenai rungutan penduduk yang berharap JLN dapat membuka semula Taman Persekutuan Bukit Kiara bagi membolehkan orang awam dan penduduk setempat beriadah.
Difahamkan, penduduk mempersoalkan penutupan taman itu kerana kelab golf dan taman awam lain berhampiran masih dibuka kepada pengunjung sepanjang PKPB ini.
Mengulas mengenai perkara itu, Rotina berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, walaupun taman itu pernah dibuka dengan SOP ditetapkan sebelum ini masih terdapat pengunjung yang berkumpul secara beramai-ramai dan gagal untuk mematuhi arahan penjarakkan fizikal.
"Kawasan taman yang luas menyukarkan pihak kami melakukan pemantauan bagi memastikan semua pengunjung mematuhi SOP ditetapkan," katanya.